Majlis Istiadat Pentauliahan DiRaja Kali ke-35

Pada 20 Ogos 2016 yang lalu, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah telah berkenan mencemar duli menyempurnakan perbarisan pentauliahan DiRaja dan menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Watikah Tauliah DiRaja kepada Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam. Istiadat Pentauliahan DiRaja kali yang ke-35 itu telah diadakan di Padang Kawad Universiti Malaya (UM).

 Perbarisan ini telah melibatkan Pegawai Kadet PALAPES Darat, Laut dan Udara dari 18 Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di seluruh Malaysia. Perbarisan yang melibatkan 1675 orang ini terdiri daripada 774 pegawai kadet lelaki dan 901 pegawai kadet wanita.

Baginda Sultan Perak telah menzahirkan ucapan tahniah kepada seluruh Pegawai Kadet PALAPES yang telah berjaya melalui pelbagai latihan dengan penuh kesabaran, tekun serta tabah dalam usaha untuk menjadi seorang pegawai muda yang berdisplin tinggi.

“Pada hari ini tercatat peristiwa penting dalam Takwim Islam iaitu bulan Zulkaedah yang mana berlakunya baiah diantara para sahabat Rasulullah untuk tidak meninggalkan medan perang serta setia berjuang bersama Rasulullah, justeru ambillah keberkatan peristiwa ini untuk meneruskan karier dalam bidang ketenteraan dan di pasukan kelak,” titah baginda.

Sebaik sahaja berakhirnya istiadat perbarisan, Pegawai Kadet Terbaik setiap universiti diperkenalkan kepada Sultan Perak dalam Majlis Ramah Mesra di Dewan Tunku Canselor dan istiadat diakhiri dengan Upacara Pengurniaan Watikah Tauliah.

Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Hj Zulkifeli Mohd Zin, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Panglima Tentera Laut, Laksamana Dato’ Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman Hj Ahmad Badaruddin, Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Sri Haji Affendi Buang dan Naib Canselor UM Kol (K) Tan Sri Profesor. Dr. Mohd Amin Jalaludin.




Comments

Popular posts from this blog

Annual Camp Training (ACT) : Fasa 1

FOMDEX : Fitness Orientation and Mental Development Exercise 2016

Ujian Kecergasan Dan Sesi Temuduga Pegawai Kadet Ambilan 13